Berita Semasa

PSH beri sumbangan kepada 200 pelajar tahfiz, ibu tunggal, B40

KUALA LUMPUR – Persatuan Sinar Hidup (PSH) menyantuni kira-kira 200 pelajar tahfiz, ibu tunggal dan keluarga daripada golongan B40 dalam Majlis Amal Iftar Perdana di sini malam tadi.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Dalam ucapannya, beliau menyeru semua pihak terutamanya sektor swasta menyokong usaha kerajaan dalam memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Kementerian bertanggungjawab mencapai kemasyarakatan inklusif supaya golongan miskin, kurang upaya, ibu tunggal dan terpinggir dapat diintergrasikan dalam masyarakat.

“Tidak dinafikan rakyat Malaysia ramai yang pemurah dan sentiasa mahu membantu golongan yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amal Iftar Perdana di Kelab Golf Perkhidmatan Awam di sini, semalam.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti dengan sesi ucapan tetamu khas dan iftar, seterusnya sesi penyampaian bantuan duit raya.

Majlis turut dihadiri Penaung Diraja Persatuan Sinar Hidup, Datin Seri Diraja Farinawati Datuk Mohd Din dan Datuk Seri Diraja Syed Amer Abidin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Sumbangan PSH kepada golongan asnaf pada majlis tersebut ditaja rakan strategik PSH iaitu Kampung Fresh Market dan juga beberapa penaja lain.

Show More

Related Articles

Back to top button