Berita Semasa

Pupuk keharmonian menerusi FAHAM, HORMAT dan TERIMA – Menteri Perpaduan

PUTRAJAYA – Semua rakyat Malaysia tanpa mengira golongan diharap dapat menyebarluas prinsip asas integrasi nasional iaitu FAHAM, HORMAT dan TERIMA yang merupakan asas dalam memupuk keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat negara ini.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan, beliau menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan hukuman berat terhadap pihak yang melakukan kesalahan supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain.

“Saya ingin menegaskan bahawa tidak akan sama sekali berkompromi kepada mana-mana pihak yang mencetuskan polemik perkauman dan menyentuh sensitiviti agama yang menganggu gugat keharmonian dan perpaduan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Aaron menambah, rakyat Malaysia seharusnya sentiasa menghormati dan mendukung Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai ramuan perpaduan negara.

“Rukun Negara adalah prinsip asas yang sepatutnya menjadi panduan bagi pembinaan serta pemeliharaan keharmonian di Malaysia.

“Cita-cita dan prinsip-prinsip tersebut perlu dihayati dan dipatuhi oleh setiap lapisan masyarakat untuk mencapai kesejahteraan bersama dan membangunkan negara yang harmoni,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam menyatakan sebarang kenyataan atau tindakan yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.

“Tindakan sedemikian boleh disabitkan atas kesalahan di bawah undang-undang yang berkenaan seperti Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button