Penubuhan MMM antara langkah kerajaan jamin kebebasan media – Nie Ching
KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi memberi jaminan kepentingan dan kebebasan media di Malaysia akan terus terpelihara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, antara usaha yang dilaksanakan adalah seperti penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang dijangka dibentangkan di Parlimen dalam Mesyuarat Kedua pada Jun ini.
“MMM bertujuan untuk menjaga kepentingan akhbar dan media, sekali gus menjaga kepentingan negara, memastikan kebebasan akhbar dan media dipertahankan, liputan yang objektif serta tidak berat sebelah.
“Ia juga menjaga saluran media dengan orang ramai sentiasa terbuka, menerima aduan orang ramai berhubung tindakan media, memantau dari semasa ke semasa undang- undang dan akta berkaitan dengan media dan menjadi badan rujukan berhubung perkara berkaitan akhbar, media dan kewartawanan,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Juhanis Abd Aziz mengenai strategi Kementerian Komunikasi dalam usaha menjaga kepentingan dan kebebasan media di Malaysia merangkumi media cetak, media elektronik dan media sosial.
Katanya lagi, usaha lain termasuk pembangunan Kod Etika Wartawan Malaysia melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) yang menjadi garis panduan oleh agensi media dan mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat yang diyakini oleh rakyat di mana wartawan perlu telus, adil dan berintegriti dalam menyampaikan informasi.
Pada masa yang sama, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), dalam penyiarannya, turut mengamalkan konsep liputan berimbang dan bertanggungjawab tanpa mengambil kira fahaman politik dan subjek liputan serta mengutamakan faedahnya kepada rakyat dan negara selagi mana tidak melibatkan provokasi kepada mana-mana pihak.
“Ia sesuai dengan amalan yang digariskan oleh Kod Etika Penyiaran yang menjadi rujukan RTM sejak 2003 (semakan 2023) yang menggariskan keutamaan nilai berita serta memuatkan pandangan pro dan kontra semua pihak.
“Ia juga seiring dengan matlamat memberi kebebasan untuk penyiar berkarya dan berkreativiti tetapi pada masa yang sama memenuhi tanggungjawab sosial kepada Masyarakat,” ujarnya.