Berita Semasa

DBKL batalkan 321 lesen premis, 66 lesen penjaja – Dr Zaliha

KUALA LUMPUR – Sebanyak 321 lesen premis dan 66 lesen penjaja telah dibatalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Menurut Zaliha, pembatalan lesen membabitkan penjaja dan premis di ibu negara itu adalah bagi tempoh tahun 2022 hingga Februari tahun ini.

“DBKL juga telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengenakan kompaun ke atas pemilik lesen yang menyewakan (tapak) bazar Ramadan dan Aidilfitri kepada pihak-pihak lain,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Senator Datuk Hisamudin Yahaya mengenai tindakan DBKL terhadap peniaga tempatan yang menyewakan lesen mereka kepada wargas asing.

Terdahulu, Zaliha mengakui lambakan warga asing di kawasan ibu kota telah menimbulkan ketidakselesaan dan kacau ganggu terhadap penduduk setempat yang sekali gus boleh menyebabkan pelbagai masalah sosial.

Justeru, beliau berkata, DBKL pada semasa ke semasa akan menguatkuasakan undang-undang, pemantauan serta rondaan secara berkala khususnya bagi memantau aktiviti perniagaan yang dijalankan warga asing.

Katanya, tindakan seperti kompaun, dan sitaan peralatan perniagaan yang tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan juga telah dijalankan oleh DBKL terutamanya di kawasan panas sekitar Kuala Lumpur.

“Kita dapati ada juga aktiviti pelacuran dalam kalangan wanita dan lelaki warga asing dan ancaman keselamatan kerana ada kalanya timbul kes-kes pergaduhan, pencemaran dan isu gelandangan.

“Kita akan memberi komitmen untuk memprogramkan beberapa siri tindakan secara berjadual dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan yang lain,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button