Berita Semasa

Bengkel MITRA selaras semula hala tuju ekonomi masyarakat India

PUTRAJAYA – Bengkel Hala Tuju Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) akan menyelaras semula pelan hala tuju agensi itu dalam memacu pertumbuhan ekonomi masyarakat India di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Sri Aaron Ago Dagang berkata, mahu golongan ahli akademik serta tokoh korporat turut terlibat dalam MITRA.

Menurutnya penglibatan mereka amat penting bagi menyelesaikan masalah dalam masyarakat seperti pembasmian kemiskinan, pengangguran, pendidikan, ekonomi, kebajikan, dan kesejahteraan hidup.

“Sebelum kita memulakan aktiviti serta memperkenalkan inisiatif melalui MITRA, perlunya kita adakan satu bengkel dan sehubungan itu kita melantik PEMANDU sebagai konsultan bagi menghasilkan satu hala tuju yang realistik dan berfokus.

“Penglibatan peserta daripada kalangan ahli-ahli akademik, tokoh-tokoh korporat serta badan-badan bukan kerajaan di mana mereka berkongsi maklumat dan sejarah MITRA agar PEMANDU dapat menghasilkan satu hala tuju yang jelas,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Hala Tuju MITRA di sini, hari ini.

Agenda transformasi MITRA memerlukan program inovatif untuk pertumbuhan ekonomi masyarakat India dan akan diberi perhatian khusus dalam pembangunan modal insan, keusahawanan, kerjaya, pembangunan sosial dan kebajikan.

“Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa akan memantau segala pelaksanaan strategik dan inisiatif yang dirancang bagi menambah baik kualiti hidup masyarakat India,” tambah beliau

“Mengenai dakwaan tentang PEMANDU menguruskan pengagihan bantuan kewangan MITRA adalah tidak benar kerana sebarang kelulusan dan agihan peruntukan yang terlibat akan dibuat melalui Jawatankuasa Penilai Kementerian Perpaduan Negara (KPN) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPN,” tegas beliau

Bengkel hala tuju MITRA diadakan selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat akan disertai oleh pemimpin-pemimpin parti politik seterusnya satu sesi libat urus bersama semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbangsa India pada 27 Mac.

Show More

Related Articles

Back to top button