Berita Semasa

KPWKM rancang adakan kempen khusus tingkat kesedaran bahaya ibu meroyan

KUCHING – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merancang mengadakan satu kempen khusus bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya masalah meroyan dalam kalangan ibu baru bersalin.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kempen tersebut yang mensasarkan ahli keluarga terutama kumpulan suami supaya mereka lebih peka dengan perubahan sikap isteri dalam tempoh berpantang.

Beliau berkata, kesedaran itu perlu berikutan banyak kes ibu meroyan yang berlaku kini berakhir dengan kematian bayi mereka.

“Sebab itu, ahli keluarga terutama pasangan mesti mengambil tahu keadaan ibu selepas bersalin terutama melihat perubahan sikap atau pertuturannya.

“Itu sahaja cara untuk mengesan dari awal seseorang ibu itu mengalami masalah meroyan dan kesedaran harus ada kalangan keluarga terdekat bagi mengelak sesuatu yang lebih buruk berlaku,” kata Nancy.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyampaian Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak Taska dan Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Dalam Kenderaan Tahun 2024 di Auditorium Muzium Budaya Borneo, di sini hari ini.

Nancy berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian seorang wanita berusia 32 tahun mengelar anak kandungnya, seorang bayi lelaki berusia setahun enam bulan di sebuah kawasan perumahan, di Pasir Gudang, Johor, kelmarin.

Tambahnyanya, berdasarkan laporan polis, wanita terbabit didapati berubah sikap menjadi pendiam beberapa hari sebelum kejadian tragis itu.

“Wanita itu juga dikatakan merasakan ada ada orang cuba melakukan sesuatu terhadapnya dan itulah tanda-tanda meroyan yang berlaku terhadap ibu yang baru bersalin.

“Meroyan ini sebenarnya sudah lama berlaku dalam masyarakat kita, sebab itu kini kita harus meningkatkan kesedaran terutamanya mengesan tanda itu dari awal bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button