Berita Semasa

Yayasan Keluarga Malaysia peruntukkan RM1.27 juta bantu anak yatim COVID-19

KUALA LUMPUR – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) telah memperuntukkan sebanyak RM1.27 juta untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan tersebut disalurkan melalui dua bantuan iaitu Bantuan YKM dan Bantuan Persekolahan.

“Ketika sesi persekolahan dibuka baru-baru ini, pihak Yayasan telah menyalurkan Bantuan Persekolahan sebanyak RM300 kepada setiap penerima.

“Ia membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM176,700 dan 589 penerima,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, YKM akan memastikan anak-anak yatim ini mendapat pendidikan yang sempurna sehingga berusia 18 tahun atau tamat ijazah pertama di institut pengajian tinggi.

“Biarpun sudah dua tahun berlalu, kesan pandemik ini masih terasa. Ada di antara anak-anak ini masih trauma. Anak-anak ini tidak boleh dilupakan, mereka masih memerlukan bantuan.

“Bagaimanapun YKM tidak mampu melakukannya bersendirian, jadi kami menyeru golongan korporat dan orang ramai untuk bersama-sama membantu anak-anak ini,” katanya lagi.

Bantuan YKM melibatkan dua kategori iaitu kategori A dari usia sehari sehingga 15 tahun, dengan setiap penerima dibberi sumbangan sebanyak RM2,000.

Bagi Kategori B yang membabitkan anak-anak berusia 16 tahun sehingga tamat ijazah sarjana muda pertama, sumbangan adalah sebanyak RM2,500.

Sempena bulan Ramadan, YKM turut mengadakan majlis buka puasa di sebuah hotel, di sini malam tadi.

Dalam majlis itu, Ismail Sabri turut menyerahkan Bantuan YKM kepada 109 anak-anak yatim COVID-19.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YKM, Datuk Ruhaidini Abd Kadir dan rakan-rakan media.

Anak-anak tersebut kemudiannya turut dibawa ke Pasar Raya SOGO untuk membeli baju raya sebagai persiapan menjelang Aidilfitri pada bulan hadapan.

Show More

Related Articles

Back to top button