Surat layang dakwa doktor buat gangguan seksual di Hospital Ipoh
IPOH – Sekeping surat layang yang mendakwa seorang doktor dan beberapa kakitangan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih tersebar di media sosial sejak semalam.
Susulan itu, seorang doktor lelaki berusia 43 tahun tampil membuat laporan kepada polis mengenai dakwaan yang memburukkan namanya.
Ketua Polis Daerah Ipоh ACP Yahaya Hassan berkata, pihak polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai doktor yang dimaksudkan di dalam surat layang berkenaan.
“Siasatan awal mendapati surat layang yang tersebar menuduh doktor lelaki itu dan beberapa staf yang lain melakukan perbuatan terkutuk khususnya terhadap doktor pelatih yang bekerja di Jabatan Ortopedik HRPB.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan pihak polis.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-sewenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur khabar angin atau fitnah yang boleh menjejaskan kredibiliti seseorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular surat layang di laman media sosial Facebook dan X yang mendakwa seorang doktor sering mengganggu doktor pelatih wanita khususnya di Jabatan Ortopedik secara seksual dan mengugut untuk memanjangkan tempoh latihan.