Lawatan rasmi PM ke Jerman capai objektif, kukuhkan hubungan persahabatan
BERLIN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan sulung rasmi lima hari beliau ke Jerman mencapai objektif.
Menurut Perdana Menteri yang mengakhiri lawatannya hari ini, aspek persahabatan yang sedia erat antara kedua-dua negara dapat diperkukuh selain kerjasama perdagangan dan peluang pelaburan untuk Malaysia meningkat.
“Saya percaya menerusi kerjasama pelbagai bidang ini menjanjikan masa hadapan yang lebih makmur sekali gus membawa manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara.
“Penghargaan saya kepada kementerian, agensi kerajaan, pihak kedutaan serta rakan-rakan media yang bersama dalam memastikan lawatan ini berhasil,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Turut serta dalam lawatan ke Jerman, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Semasa di Berlin, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau Canselor Olaf Scholz, Naib Canselor Jerman merangkap Menteri Ekonomi dan Tindakan Iklim Robert Habeck, selain mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier.
Perdana Menteri turut bertemu dengan kapten-kapten industri dan para pelabur berpotensi dari Eropah bagi membuka peluang pelaburan di Malaysia.
Selain itu, semasa lawatan, Perdana Menteri juga telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai syarikat terkemuka Jerman Volkswagen AG, Infoneon Technologies, Melexis dan Airbus AE.
Sebagai rekod, Jerman adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000 manakala Malaysia merupakan rakan perdagangan terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.