Berita Semasa

Ramadan: Pembaziran makanan naik antara 15 hingga 20 peratus

Orang ramai digesa berbelanja dengan berhemah, elakkan pembaziran

GEORGE TOWN – Orang ramai digesa supaya berbelanja dengan berhemah dan tidak melakukan pembaziran makanan sepanjang Ramadan.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, kajian jelas menunjukkan pembaziran makanan akan meningkat dengan ketara iaitu antara 15 hingga 20 peratus ketika bulan puasa berbanding bulan lain.

“Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat umat Islam tetapi bagi sesetengah orang ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pad amasa yang sama, katanya, kerakusan atau bersikap lahap juga boleh memberi kesan sampingan kesihatan yang serius seperti diabetes, penyakit koronari dan tekanan darah tinggi bagi mereka yang memuaskan hati dengan menurut hawa nafsu.

“Iftar berbuka puasa, secara tradisinya dilakukan di rumah bersama ahli keluarga atau di masjid dalam suasana kerohanian bertukar kepada ‘pesta makan dengan 100 jenis hidangan’ di hotel dan restoran yang menjadi sumber keuntungan perniagaan.

“Buang makanan adalah satu dosa memandangkan ia menafikan makanan bagi mereka yang memerlukan dan generasi masa hadapan,” katanya lagi.

Beliau kemudiannya mengingatkan, tujuan berpuasa adalah bagi merasakan kelaparan yang dialami golongan miskin dan terpinggir supaya kita mempunyai sikap empati kepada mereka.

Sebagai contoh, katanya, lebih dua juta rakyat Palestin kini menghadapi kebuluran, jadi sikap pembaziran makanan yang berlaku di Malaysia langsung tidak mencerminkan semangat Ramadan.

Data pada Ramadan 2022 menunjukkan, jumlah kutipan sisa pepejal naik hampir 21 peratus iaitu sebanyak 252,521 tan berbanding 208,143 tan pada 2019.

Show More

Related Articles

Back to top button