MCW beri ingatan kepada ahli politik agar tidak manipulasi fakta
KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memberi peringatan ahli-ahli politik agar tidak memanipulasi fakta dan undang-undang sedia yang boleh mewujudkan persepsi buruk terhadap fungsi dan peranan agensi penguatkuasa di negara ini.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh bertindak terhadap apa-apa perkara yang dibangkitkan berkaitan isu rasuah selaras dengan fungsi dan tanggungjawabnya sebagai agensi utama yang memerangi rasuah berdasarkan undang-undang sedia ada.
Kenyataan tersebut merujuk kepada
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN)
Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berpandangan ahli parlimen memiliki imuniti daripada pendakwaan dan keistimewaan semasa berucap atau berbahas dalam sidang Dewan Rakyat.
Menurut Hamzah, SPRM tidak perlu masuk campur berhubung kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa beliau ditawarkan rasuah untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Jais berkata, keistimewaan semasa berbahas dalam sidang Dewan Rakyat dan Imuniti Parlimen sebenarnya adalah berkaitan dengan imuniti terhadap prosiding di dalam mahkamah.
Jelasnya, ia seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan dibawah Keistimewaan Parlimen perkara 63 (1), (2) dan (3).
“Perkara 63 (2) menyatakan dengan jelas bahawa Tiada seorangpun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.
“Pada pandangan kami, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hanya memberi kenyataan meminta Datuk Wan Saiful untuk membuat aduan atau laporan kepada SPRM sekiranya benar dia ditawarkan rasuah.
“Kenyataan ini tidak melibatkan apa-apa prosiding mahkamah, maka ia tidak termasuk dalam keistimewaan Ahli Parlimen mendapat perlindungan Imuniti Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden MCW berkata, apabila Wan Saiful menyebut di Parlimen iaitu di Dewan Rakyat mengenai dakwaan rasuah ditawar kepada beliau, maka sebenarnya menjadi tanggungjawab beliau sendiri untuk membuat laporan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.
“Dalam hal ini, SPRM boleh bertindak secara pro-aktif untuk berjumpa dan mengambil butiran atau maklumat yang berkenaan secara berjumpa terus dengan mana-mana individu.
“Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada mana-mana individu yang ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan berlandaskan undang-undang di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009, di mana Seksyen 25 (1) berkaitan Kewajipan untuk melaporkan transaksi penyogokan,” katanya lagi.
Ujarnya, undang-undang tersebut jelas menyatakan mana-mana orang yang diberi, dijanjikan, atau ditawarkan, apa-apa suapan dengan melanggar mana-mana peruntukan Akta itu hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran tersebut kepada pegawai Suruhanjaya atau pegawai polis.