Berita Semasa

Produk berlabel ‘Tanpa Minyak Sawit’ tidak akan dibenarkan masuk ke Malaysia

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan membenarkan produk berlabel mesej diskriminasi ‘Tanpa Minyak Sawit’ masuk ke negara ini sebagai usaha menentang kempen anti minyak sawit yang dilakukan di peringkat global.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan amaran mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM250,000.

Beliau berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menyekat kemasukan produk-produk yang bersifat sinis terhadap minyak sawit.

“Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOC), didapati sebanyak 80 daripada 251 premis di sekitar Lembah Klang ada menjual produk yang berlabel ‘Tanpa Minyak Sawit’.

“Kita akan mengambil tindakan kerana kita ada undang-undang yang menyatakan mana-mana diskriminasi pada produk khususnya kelapa sawit boleh didenda RM250,000,” katanya.

Johari berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara FGV Holdings Berhad dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, bagi tindakan penguatkuasaan di pasaran sedia ada di dalam negara, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Kempen anti minyak sawit yang dilancarkan beberapa negara Barat dikaitkan dengan kemusnahan hutan di Malaysia dan Indonesia. Kedua-dua negara ini adalah pengeluar kelapa sawit terbesar dunia.

Kesatuan Eropah pada tahun ini mengumumkan pengharaman import komoditi yang dikaitkan dengan penebangan hutan, satu langkah yang dijangka akan menjejaskan permintaan minyak sawit.

 

Show More

Related Articles

Back to top button