Kerajaan lancar pelan jangka panjang Bumiputera Jun depan
PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini memberitahu Kerajaan akan melancarkan satu pelan jangka panjang Bumiputera pada Jun depan.
Beliau berkata, pelan selama 10 tahun tersebut merupakan hasil cadangan dan pandangan yang diutarakan sewaktu Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang diadakan baru-baru ini.
“Kerajaan akan memberi fokus kepada usaha pemerkasaan dan pemerkasaan golongan kelas pertengahan Bumiputera yang mampu mencipta nilai kepada ekonomi.
“(Supaya) beralih daripada sekarang… makan gaji kepada mencipta nilai agar lebih banyak penyertaan kelas menengah Bumiputera dalam perniagaan dan meningkatkan pendapatan berbanding hanya bergantung harap pada pekerjaan bergaji sahaja,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Rafizi menekankan perlunya peralihan kepada mobilisasi kapital swasta melalui usaha ekuiti persendirian dan modal teroka untuk meningkatkan penskalaan perniagaan Bumiputera.
Tambah beliau, kerajaan komited untuk membangun ekosistem yang mendukung melalui undang-undang, insentif, percukaian, dan pembinaan bakat pelaburan dalam kalangan golongan menengah.
“Kerajaan melalui kerangka Ekonomi Madani mengenal pasti enjin-enjin pertumbuhan baharu termasuk peralihan tenaga, digital, pertanian moden, serta sektor elektrik dan elektronik yang lebih maju.
“Sudah tentu apabila kerajaan meletakkan fungsi-fungsi ini, ia akan bermula dengan (merapatkan) jurang terutama antara usahawan dan profesional Bumiputera dan program khusus yang membabitkan golongan ini membiasakan usaha dengan potensi yang ada dan untuk menggalakkan mereka mengambil risiko menyertai sektor yang begini… ini akan diperhalusi seperti sebahagian dapatan-dapatan yang telah dibincangkan di KEB 2024,” katanya lagi.
Rafizi menekankan perlunya mengurangkan jurang antara usahawan dan profesional Bumiputera dengan program khusus untuk membiasakan mereka dengan potensi dan menggalakkan mereka mengambil risiko dalam sektor yang bersesuaian.