Sijil Alternatif Sekolah Menengah dikeluarkan mulai 11 Mac
PUTRAJAYA – Murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) boleh menuntut Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM) tahun 2023 dari sekolah masing-masing pada 11 Mac mulai pukul 10 pagi.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) tahun 2023 bagi MBPK telah selesai dilaksanakan pada 19 Jan lepas.
Seramai 3,210 MBPK dari 725 sekolah di seluruh negara telah menamatkan persekolahan bagi sesi akademik 2023/2024 dan layak menerima SASM.
“KPM sentiasa komited untuk terus memastikan ekuiti dan kesamarataan pendidikan terjamin untuk semua murid seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut, SASM adalah cerminan agenda pendidikan manusiawi KPM yang memastikan akses pendidikan terbaik untuk semua murid dan tiada siapa yang terpinggir.