Berita SemasaPM X

Malaysia, Australia tandatangani empat MoU

MELBOURNE – Malaysia dan Australia hari ini memeterai empat Memorandum Persefahaman (MoU) dalam rangka lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia.

Dua daripada MoU tersebut adalah Pengaturan Praktikal di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia untuk Kerjasama dalam Bidang Sains dan Teknologi dan Aplikasi untuk Pelaksanaan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT) serta Keselamatan Siber dan Teknologi Kritikal.

Manakala, dua lagi MoU yang boleh diperbaharui adalah kerjasama dalam bidang sukan dan kolaborasi dalam sektor pendidikan tinggi.

Malaysia yang diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Australia, Penny Wong masing-masing bertukar-tukar dokumen selepas selesai Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia di Government House, Victoria yang disaksikan Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese.

“Keempat-empat MoU tersebut sememangnya satu pencapaian penting dalam merencanakan satu masa hadapan yang progresif dan mereka (MoU) membuktikan hasil dan kejayaan yang bermakna daripada mesyuarat kami,” kata Anwar dalam satu sidang akhbar bersama Albanese.

Anwar berkata, ada atlet lelaki dan wanita terkemuka Malaysia pada masa ini sedang berlatih di Australia.

“Jadi, sekiranya mereka mencapai beberapa kejayaan di Olimpik, kami juga akan berikan penghargaan kepada Australia,” katanya.

Sementara itu, Albanese berkata, MoU mengenai belia dan sukan itu akan menyediakan peluang besar kepada atlet muda Australia dan Malaysia termasuk generasi akan datang untuk berlatih dan membina keupayaan bersama-sama.

Mengenai MoU Perjanjian Komprehensif Pengharaman Ujian Nuklear, akan membolehkan perkongsian data, pembinaan kapasiti dan pengawalan senjata nuklear Malaysia dan Australia.

Albanese berkata, dalam mesyuarat itu beliau dan Anwar juga membincangkan komitmen bersama mereka untuk menguruskan dengan lebih baik ancaman siber, dan melangkah ke hadapan Australia dan Malaysia akan berupaya melakukan libat urus dalam perkongsian maklumat dan pembangunan kemahiran siber dengan lebih menyeluruh selain mengadakan kerjasama erat dalam isu sempadan dan imigresen.

Show More

Related Articles

Back to top button