Kos sara hidup antara punca kadar perceraian yang tinggi di Selangor
SHAH ALAM – Antara punca utama kes perceraian yang tinggi di Selangor berbanding negeri lain adalah kos sara hidup yang tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup itu mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi mahupun sosial.
“Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan, maka rakyat perlu keluar mencari pekerjaan sambilan atau tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan yang tidak mencukupi.
“Disebabkan kesibukan bekerja, masa berkualiti bersama anak berkurangan terutama bagi mereka yang berumah tangga dan akhirnya akan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan dengan berlakunya perceraian,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Wisma DUN Selangor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mu’izzuddeen Mahyuddin (PN-Hulu Bernam) mengenai faktor yang mendorong perceraian tertinggi di Selangor berbanding negeri lain pada 2023.
Mohammad berkata, migrasi dalaman membabitkan penduduk dari luar Selangor, migrasi antarabangsa yang datang bekerja di Lembah Klang, selain tawaran peluang pekerjaan tinggi menyumbang kepada bilangan penduduk yang tinggi di negeri ini.
“Penduduk luar yang bernikah di luar negeri ini dan kemudiannya bekerja dan bermastautin di sini sudah tentunya akan mendaftarkan perceraian mereka di Selangor.
“Ini kerana setiap masalah berkaitan institusi kekeluargaan yang timbul akan didaftarkan dan diselesaikan berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di tempat mastautin pihak yang memohon,” katanya lagi.
Mohammad kemudiannya menambah, pembangunan pesat di Selangor juga salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kadar perceraian di negeri itu.
“Pertumbuhan ekonomi yang rancak di Lembah Klang mengakibatkan Selangor menjadi hub utama bagi semua sektor pembangunan ekonomi. Banyak peluang pekerjaan ditawarkan mengakibatkan kadar komposisi penduduk di Selangor meningkat,” katanya lagi.