Berita Semasa

Bayi dua bulan maut kemalangan dalam perjalanan pulang tunai aqikah 

JASIN – Seorang bayi lelaki berusia dua bulan maut dalam kemalangan melibatkan enam buah kenderaan di Kilometer 184 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, 11 pagi semalam.

Mangsa, Mohamad Sufyan Mohamad Shahizwan yang mengalami kecederaan parah di badan dan kepala disahkan meninggal dunia pada pukul 2.55 petang ketika dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kemalangan melibatkan sebuah treler muatan kereta, lori, tiga buah kereta dan sebuah pacuan empat roda yang sedang dalam perjalanan dari arah utara ke selatan.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun hilang kawalan sebelum merempuh Perodua Ativa dinaiki Mohamad Shahizwan Abd Hamid, 35, dan isteri, Nurmadiha Nisa Suhaimi, 34, serta dua anak lelaki termasuk mangsa.

“Tiba-tiba treler dipandu lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah Perodua Ativa dinaiki empat sekeluarga termasuk bayi itu yang berada di lorong kiri.

“Akibatnya, mangsa bayi parah manakala pemandu berusia 35 tahun, isteri, 34 tahun dan seorang lagi anak lelaki mereka berusia tiga tahun tidak mengalami kecederaan.

“Treler itu turut merempuh empat lagi kenderaan iaitu sebuah lori, 4×4 jenis Ford Ranger, Perodua Myvi dan Mercedes Benz namun kesemua empat pemandu dan tiga penumpangnya selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Jamil berkata, ketika kejadian, Mohamad Shahizwan yang juga pegawai penyiasat trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya dalam perjalanan ke Kluang, Johor dan difahamkan bakal menganjur majlis aqikah bayi mereka.

“Setakat ini polis sudah mengambil sampel darah pemandu treler untuk analisis kimia, namun ujian saringan air kencing belum dapat dilaksana kerana dia ditahan di hospital selepas mengalami tekanan darah rendah,” katanya.

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button