Berita Semasa

PM minta Ahli Parlimen Kerajaan berhujah dengan fakta, kajian – Ahmad Zahid

CYBERJAYA – Ahli-ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan diminta untuk berhujah dengan fakta dan bahan kajian dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bermula esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, harapan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat pra-persidangan yang diadakan di kediaman rasmi beliau, pagi tadi.

“Pagi tadi kami telah mengadakan pra persidangan dan kami telah membincangkan beberapa isu dan Rang Undang-Undang baharu yang perlu disantuni oleh ahli-ahli Parlimen

“Harapan Perdana Menteri supaya persidangan Dewan Rakyat kali ini, ahli-ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan Madani ini akan berhujah dengan lebih berfakta dan berdasarkan bahan kajian agar ia memberi imej yang lebih baik kepada ahli Parlimen Kerajaan itu.

“Kita tahu pihak pembangkang akan membangkitkan banyak isu lama dan baharu tetapi kita akan tangani dengak sebaik-baiknya,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai yang disampaikan oleh Anwar pada mesyuarat pra-persidangan yang disertai ahli Parlimen Kerajaan yang berlangsung pagi tadi.

Ahmad Zahid menambah, Anwar juga menyampaikan pesanan lain, termasuk tekad kerajaan mahu menangani isu-isu rakyat dan perundangan baik dari segi bahan makanan dan kejatuhan ringgit.

“Ini harus diperjelaskan dan usaha-usaha baharu harus dilakukan terutamanya pelaburan sebanyak RM329 bilion dapat diusahakan oleh perdana menteri yang akan memberi peluang pekerjaan dan menambah eksport negara serta secara langsung kejatuhan ringgit dapat di atasi dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat akan bersidang selama 69 hari pada tahun ini dengan sidang pertama bermula esok hingga 27 Mac iaitu selama 19 hari.

Show More

Related Articles

Back to top button