Lapan pelarian Rohingya cedera, kebakaran berpunca tong gas bocor
DHAKA – Lapan pelarian Rohingya dilaporkan tercedera dalam insiden kebakaran yang berlaku akibat kebocoran gas di penempatan pelarian di Pulau Bhasan Char, semalam.
Ketua Polis Bhasan Char, Kawsar Alam Bhuiyan berkata, lapan pelarian itu yang mengalami separa melecur, dibawa ke hospital kerajaan di daerah Noakhali.
Beliau berkata, lima kanak-kanak adalah antara yang cedera dalam kebakaran itu, yang berpunca di sebuah rumah.
Bangladesh menempatkan semula kira-kira 32,000 orang dari kem sempadan di daerah tenggara Cox’s Bazar ke pulau berkenaan sejak akhir 2020.
Tindakan itu mendapat tentangan, terutama dari kumpulan bantuan yang bimbang mengenai bencana di negara yang kerap menghadapi cuaca buruk, terutama di sepanjang kawasan pantai.
Kerajaan juga menolak kebimbangan keselamatan ke atas pulau itu, memetik pembinaan pertahanan banjir serta hospital, pusat siklon dan perumahan untuk 100,000 orang.
Sebelum ini, hampir sejuta anggota minoriti Islam dari Myanmar tinggal di kem yang diperbuat daripada buluh dan plastik yang sesak di Cox’s Bazar, dengan kebanyakan mereka adalah pelarian yang melarikan diri daripada tindakan keras tentera pada 2017.