Uncategorized

Urusan padi dan beras jangan diserah kepada ‘katak politik’ – Ketua Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia menegaskan kepada kerajaan supaya menyerahkan tanggungjawab mengurus isu padi dan beras negara kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Ketua pergerakan itu, Dr. Akmal Saleh berkata, perkara itu tidak sepatutnya diserahkan kepada ‘katak politik’.

Beliau berkata demikian sebagai menyambut keputusan penangguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap cadangan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkaitan Beras Putih Malaysia Madani.

“Terima kasih PMX Anwar Ibrahim kerana menangguhkan cadangan yang telah dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang berkenaan beras Madani.

“Isu beras ini perlu diberi penekanan bagaimana pesawah kita perlu diperkasakan untuk mengolah hasil padi mereka dan Insyallah keterjaminan pendapatan pesawah kita akan membawa kepada keterjaminan bekalan beras di negara ini,” katanya melalui Facebook rasminya hari ini.

Dr. Akmal berkata, pengurusan isu itu juga perlu melibatkan golongan pesawah, pengilang dan juga pakar-pakar dalam bidang berkenaan.

Beliau juga berharap, libat urus yang diketuai oleh kementerian berkenaan itu akan memberikan cadangan yang memberi kebaikan kepada rakyat.

Semalam, Perdana Menteri mengarahkan KPKM mengetuai serta menyelaras sesi libat urus secara lebih terperinci dengan termasuk mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampuan bekalan dan kesan kepada pengguna.

Kerajaan sebelum ini memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button