Motosikal bergerak sendiri di lebuh raya tular
PETALING JAYA – Sebuah motosikal dilaporkan bergerak sendiri sejauh beberapa meter di Lebuhraya Persekutuan selepas penunggangnya terjatuh akibat perlanggaran dengan seorang pengguna motosikal lain.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kejadian itu tular di aplikasi media sosial X dan mula dikesan pihak polis pada pukul 10.07 malam.
“Siasatan awal mendapati insiden berkenaan melibatkan kemalangan dua buah motosikal di lorong motosikal lebuh raya tersebut arah Shah Alam.
“Kemalangan tersebut menyebabkan penunggang salah sebuah motosikal terjatuh, manakala motosikal jenis Modenas GT128 miliknya terus bergerak ke laluan utama lebuh raya.
“Peristiwa itu dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta yang kebetulan melalui lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahrulnizam berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kini sedang mengesan penunggang motosikal yang terlibat dan meminta mereka untuk tampil membuat laporan.
“Penunggang motosikal terbabit difahamkan mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan belakang badan,” katanya lagi.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 011-32311232 atau tampil ke balai polis terdekat untuk membantu siasatan.
“Polis juga mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune