Berita Semasa

Menteri nafi tamatkan perkhidmatan KP Pengarah Tourism

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing menafikan beliau telah memecat Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar dari jawatan Ketua Pengarah Tourism Malaysia.

Sebaliknya kata King Sing, beliau hanya menurunkan pangkat Dr. Ammar kepada timbalan selepas tidak berpuas hati dengan prestasi kerjanya.

Beliau berkata, tindakan itu diambil demi kebaikan industri dan kementerian itu selepas lebih setahun memberi teguran termasuk melalui timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

“Demi kebaikan industri pelancongan Malaysia saya tak boleh biarkan sampai Mac baru ambil tindakan, nak merancang balik semula,” katanya selepas majlis perasmian Hari Kraf Kebangsaan di sini hari ini.

Semalam tular kenyataan mengenai surat yang menyatakan perkhidmatan Dr Ammar ditamatkan selepas 36 tahun mencurahkan bakti dalam kementerian itu.

Sementara itu King Sing menjelaskan, pihaknya telah memberikan banyak peluang kepada Dr Ammar untuk membaiki prestasi kerja yang telah menjejaskan potensi Motac.

Antara kelemahan itu menurut King Sing adalah kurangnya libat urus dengan pihak negeri.

“ia tidak ada libat urus dengan negeri, saya beritahu mesti buat libat urus, jadi negeri pun merungut. Kenapa jadi begitu?

“Siapa tidak menunjukkan prestasi yang baik, turunlah…beri peluang kepada orang lain. Tiada kaitan isu perkauman sebagainya,” katanya.

Selain itu katanya, Dr. Ammar juga tidak berjaya menaikkan jumlah kehadiran pelancong China ke negara ini dan tidak mengambil tindakan susulan dengan pihak negara itu.

“Kita terima kedatangan pelancong dari China 1.2 juta sahaja sedangkan Thailand menerima 10 juta pelancong China. Kenapa tidak meningkat, kenapa Malaysia tiada perubahan?,” katanya.

Bagaimanapun King Sing menjelaskan bahawa tindakan yang diambil itu dibuat mengikut proses dan bukan penyalahgunaan kuasa sebagai menteri.

Show More

Related Articles

Back to top button