Kertas draf wajibkan pensijilan halal ke Kabinet, Rabu ini
PUTRAJAYA – Kertas draf berkenaan kajian mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Rabu ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sekiranya draf tersebut dipersetujui Kabinet, satu tindakan susulan akan dilaksanakan.
“Sekarang pensijilan halal tu adalah secara sukarela. Jadi kita nak tengok kemungkinan pensijilan halal ini diwajibkan sebab yang itu dia akan melalui proses yang panjang juga kan sebab itu saya sebut dalam konteks kita punya dasar.
“Kalau Kabinet bersetuju dengan cadangan tersebut dan kita akan mulakan kajian secara terperinci.
“Jadi cadangan awal yang memerlukan sesi libat urus maknanya nanti JAKIM akan panggil lah semua. Kalau ianya jadilah,” kata Mohd Na’im, hari ini.
Kajian yang akan dilakukan termasuk mengadakan sesi libat urus membabitkan pemegang taruh yang mana kesemua mereka akan diberikan nasihat dan penerangan.
Pihaknya juga akan mengemukakan draf sama kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk menentukan sama ada dasar mewajibkan pensijilan halal ini boleh dilakukan ataupun sebaliknya.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar mengarahkan Mohd Na’im melakukan kajian dan menyediakan laporan lengkap berhubung isu pensijilan halal.
Isu pensijilan halal ini menjadi hangat selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dilaporkan sebagai berkata, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.