Pemandu teksi, bas sekolah terima caruman Perkeso mulai bulan depan
PUTRAJAYA – Seramai 35,000 pemandu teksi dan 18,000 pemandu bas sekolah bakal menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, caruman yang akan bermula pada bulan hadapan itu dibiayai menerusi peruntukan Kementerian Kewangan sebanyak 90 peratus, manakala bakinya akan dijelaskan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Kita difahamkan Kementerian Kewangan ada memberikan satu dana kepada Perkeso sebanyak RM100 juta untuk mencarum sehingga 90 peratus bagi pemandu teksi, e-hailing, p-hailing dan sebagainya.
“Walaupun 90 peratus, tetapi 10 peratus perlu dicarum sendiri oleh pemandu sendiri, jadi untuk golongan ini, kita akan membuat caruman tambahan 10 peratus itu,” kata Anthony Loke, hari ini.
Usaha berkenaan, katanyaya, adalah untuk memberi perlindungan sosial kepada mereka iaitu sekiranya berlaku kemalangan, caruman itu akan membantu mereka dan keluarga.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, beliau sudah berbincang dengan Perkeso berhubung pelaksanaan insiatif terbabit selain meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyerahkan senarai pemandu dalam pangkalan data mereka kepada Perkeso untuk disemak silang.
“Kita jangka Mac ini dapat lancarkan inisiatif ini, maksudnya pemandu teksi dan pemandu bas sekolah tidak perlu mencarum satu sen pun untuk setahun, mereka cuma perlu daftar nama mereka.
“Jika sudah daftar sebelum itu, kita akan bagi slip caruman mereka,” katanya lagi.