Mangsa maut dipukul, diikat dikehendaki polis dan miliki 10 kes lampau
PETALING JAYA – Seorang lelaki yang menjadi mangsa pukul sehingga maut semasa kemalangan di Taman Pelangi Dua, Kajang pada Selasa disahkan positif dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu lelaki berusia 42 tahun itu juga mempunyai 10 kes lampau melibatkan kes narkotik dan merupakan orang dikehendaki pihak polis.
Beliau berkata, semasa ujian bedah siasat dilakukan, lelaki tersebut disahkan positif dadah jenis methamphemin dan ganja.
“Hasil awal bedah siasat juga mendapati tiada kesan kecederaan yang ketara pada badan mangsa yang boleh membawa kepada kematian.
“Kita masih menunggu ujian patalogi atau analisa makmal bagi menentukan sebab kematian mangsa,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya antara Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid dan Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar @ Ismail.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, ekoran kejadian tersebut, pihaknya menahan dua lagi individu di Kajang jam 5 petang.
Kata beliau, kedua-dua yang ditahan tersebut berusia 23 dan 40 tahun, manakala tindakan reman akan diperoleh pada Jumaat.
Menurutnya, jumlah keseluruhan yang ditahan sebanyak tujuh orang bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Katanya, dua laporan polis diterima daripada dua pemilik kereta yang terlibat dalam kemalangan.