Anwar adakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi
RIYADH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud sebelum kembali ke Kaherah, Mesir.
Anwar berkata, beliau menzahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan kerajaan Arab Saudi terkait penganjuran Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam termasuk usaha-usaha berterusan dalam membantu saudara Islam yang ditindas.
“Dalam pertemuan ini kami menyentuh pelbagai aspek terkait hubungan Malaysia-Arab Saudi yang perlu diperluas khususnya menyentuh soal perdagangan dan pelaburan termasuk kerjasama dalam beberapa bidang baharu antaranya kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau, tenaga bersih, serta petrokimia.
“Kami juga sempat bertukar pandangan berkenaan situasi serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu kataya, Malaysia bersedia untuk menganjurkan Mesyuarat Penyelarasan Pertama antara Malaysia-Arab Saudi di peringkat Menteri Luar bagi membincangkan kerjasama kedua-dua negara dengan lebih lanjut.
Sementara itu katanya, beliau turut menjemput Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC di Kuala Lumpur.
“Saya optimis bahawa hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi dapat menyumbang kepada kemakmuran rakyat Malaysia keseluruhannya, insya-Allah,” katanya.