CBP tambah had pembiayaan hartanah Bumiputera Pulau Pinang
KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) dengan kerjasama Majlis Perumahan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) baru-baru ini menerima tambahan RM5 juta kepada tabung pembiayaan hartanah untuk Bumiputera di Pulau Pinang.
Melalui penambahbaikan skim Tabung Perumahan Bumiputera Pulau Pinang (TPBPP) itu, jumlah yang ditawarkan melalui pembiayaan CBP kini dinaikkan daripada rm200,000 kepada RM300,000.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, tambahan modal pusingan itu diharap dapat memberi peluang kepada lebih ramai Bumiputera memiliki hartanah di negeri berkenaan.
“Melalui persetujuan yang dicapai pada 1 Februari lalu, had pendapatan untuk memohon pembiayaan perumahan juga dinaikkan dari RM3,000 sebulan kepada maksima RM12,000 sebulan.
“CBP sebagai sebuah bank koperasi yang mula bertapak di Pulau Pinang, amat berbesar hati dengan mandat yang telah diberikan oleh MPBPP bagi menjayakan skim pemilikan perumahan Bumiputera ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tambahan pembiayaan itu juga memberi pilihan kepada pelanggan untuk memilih kediaman berdasarkan kesesuaian dan kemampuan mereka.
Terdahulu, MPBPP memperuntukkan sebanyak RM14.59 juta kepada CBP yang dioperasikan secara dana pusingan (rolling-fund) dan disalurkan secara berperingkat iaitu sebanyak RM5 juta pada 2012 serta RM9.59 juta pada Mac 2014.
Pembiayaan itu setakat ini telah memberi manfaat kepada lebih 300 pelanggan.
Katanya, orang ramai boleh membuat permohonan pembiyaan itu di semua cawangan CBP di Pulau Pinang bermula 1 Julai ini mengikut terma dan syarat ditetapkan.