RUU penubuhan Majlis Media Malaysia di peringkat akhir – Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA – Draf Rang Undang-undang
(RUU) Majlis Media Malaysia (MMC) kini dalam fasa akhir sebelum dibawa ke Kabinet, demikian maklum Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, proses penubuhan MMC berkenaan memerlukan sedikit masa susulan ia melibatkan Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Insya-Allah (penubuhan Majlis Media Malaysia) tidak berapa lama lagi” katanya dalam ucapan beliau sebelum merasmikan Majlis Peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia di sini hari ini.
Selain itu, Fahmi berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Chee Keong bagi memastikan kebajikan wartawan sambilan terbela menerusi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Difahamkan daripada 9,750 pemegang kad perakuan media, lebih 6,000 adalah wartawan sambilan dan ini jumlah besar. Aspek kebajikan berkaitan KWSP, Perkeso dalam pertimbangan.
“Saya perlu sedikit masa untuk bincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, ada sedikit berita positif untuk wartawan sambilan, berikan kami sedikit masa,” ujarnya.
Mengulas mengenai kewajaran memanjangkan tempoh sah kad perakuan media antarabangsa, Fahmi berkata, perkara tersebut kini dalam pertimbangan pihak kementerian.
“Saya lihat ada kewajaran memandangkan ramai rakan media yang terlibat dalam media antarabangsa adalah warga Malaysia dan mereka berpangkalan di negara ini,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, tempoh sah kad perakuan media antarabangsa kini hanya setahun sahaja berbanding media tempatan iaitu dua tahun.