Jenayah & Mahkamah

Mayat wanita bersama dua anak ditemukan tergantung

SEREMBAN – Seorang wanita berusia 34 tahun bersama dua orang anak berusia enam dan tiga tahun ditemukan mati tergantung pada kipas di sebuah rumah di Lenggeng, Nilai, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Abdul Malik Hasim berkata, polis menerima aduan mengenai penemuan mayat tiga sekeluarga itu di sebuah rumah di taman perumahan pada pukul 9.25 malam tadi.

Katanya, pemeriksaan polis menemui mayat seorang wanita dan dua kanak-kanak yang merupakan anak kepada wanita berkenaan dalam keadaan tergantung di kipas.

Abdul Malik berkata, polis turut menemui sekeping nota yang menyatakan hasrat membunuh diri kerana masalah keluarga.

“Ketiga-tiga mayat dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Susulan itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Nilai telah menahan seorang lelaki yang merupakan suami kepada wanita berkenaan untuk membantu siasatan.

“Lelaki berkenaan ditahan pada pukul 1 pagi tadi dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button