Mayat mangsa lemas di Pantai Batu Buruk ditemui berhampiran Pulau Kapas
KUALA TERENGGANU – Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama tiga ahli keluarga di Pantai Batu Buruk semalam dihanyutkan ombak sejauh lebih 15 kilometer dari lokasi kejadian.
Mangsa, Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, ditemukan pada pukul 4 petang ini berhampiran Pulau Gemia, dekat Pulau Kapas di sini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam kenyataan di media sosial petang ini berkata, mayat mangsa ditemukan terapung oleh nelayan yang kemudian menghubuni bomba untuk tindakan membawa keluar mangsa.
“Komander Operasi, Rozizah Abnihajar melaporkan operasi hari ini melibatkan anggota PPDA Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Terengganu dan dibantu agensi lain.
“Mangsa dibawa ke Jeti Marang sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu,” katanya.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Semalam, Zulkarnain dilaporkan hilang selepas ditarik ombak ketika mandi di Pantai Batu Buruk dalam kejadian pukul 11.20 pagi.
Kejadian disaksikan isterinya, Nora Elina Abdul Khalit, 44 dan dua anak mereka yang tidak mampu menolong mangsa.