Jenayah & Mahkamah

4 lelaki ugut Ahli Parlimen akibat tak puas hati jumlah angpau ditahan

JULAU – Empat lelaki ditahan polis selepas disyaki melakukan pemerasan dan ugutan terhadap Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng akibat tidak berpuas hati dengan jumlah angpau yang diberikan kepada mereka.

Menurut Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin, kesemua suspek ditahan pada jam 6 petang pada Isnin lalu, sehari selepas Sng tampil membuat laporan polis.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, Sng mendakwa semasa beliau melawat kawasan Julau sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 11 Februari lalu, keempat-empat suspek bercakap dengannya sambil menyatakan tidak berpuas hati dengan jumlah angpau yang diberikan kepada mereka.

Katanya, Sng kemudian bersetuju menambah jumlah angpau namun suspek masih membuat provokasi terhadap pekerjanya.

“Hasil siasatan mendapati semua suspek dikatakan tidak berpuas hati disebabkan angpau yang diberikan oleh pengadu berisi RM5 saja.

“Suspek mengisikan angpau dengan duitnya sendiri berjumlah RM10 lalu memulangkannya kepada pengadu sebagai tanda tidak berpuas hati dan dipermalukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Andam berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Beliau berkata, permohonan reman dijalankan di Mahkamah Sarikei dan semua suspek ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button