
‘Raja Dadah’ miliki aset dianggar sekitar RM190 juta
KANGAR – Nilai aset seorang rakyat Malaysia digelar Raja Dadah yang ditahan di Laos pada 29 Disember lalu dianggarkan sekitar RM190 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, suspek berusia 41 tahun dan berasal dari Perak itu pernah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316).
“Untuk makluman, kita pernah mengambil tindakan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316) ke atas dia malah kita juga pernah membuat rampasan (aset) suspek pada peringkat awal penahanannya sebelum ini.”
“Sebahagiannya sudah pun kita lucutkan hak dan ada yang kita sudah pulangkan semula (kepada suspek) dan nilainya, jika tidak silap saya, dalam RM190 juta,” kata Kamarudin.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di IPK Perlis, di sini hari ini.
Jelasnya, pihak berkuasa belum lagi meneliti impak kegiatan penyeludupan dadah yang berlaku terutamanya di sempadan Malaysia selepas tertangkapnya suspek di Laos itu namun pihaknya sentiasa mengambil tindakan menyeluruh ke atas aktiviti berkenaan.
“Malah, pada tahun ini, dengan kejayaan pembanterasan penyeludupan dadah di Perlis ini, kita akan lipat gandakan usaha kita untuk memastikan tidak ada lagi dadah yang cuba diseludup masuk daripada negara jiran ke Malaysia.”
“Dalam masa yang sama juga, kita (Polis DiRaja Malaysia) akan biarkan kes ini selesai dahulu di Thailand baharulah kita akan melihat semula sama ada suspek ini akan diektradisi atau pun tidak. Buat masa ini, kita belum lagi ada perancangan terhadap langkah berkenaan,” katanya lagi.
Laporan media antarabangsa sebelum ini menyebut, lelaki itu yang dikehendaki di Thailand kerana disyaki terbabit aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah, ditahan di Laos.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengesahkan suspek yang turut mempunyai rangkaian pengedaran dadah di Thailand disenarai hitam selepas disyaki menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah di kawasan Segi Tiga Emas, membabitkan tiga negara iaitu Myanmar, Laos dan Thailand sejak 2006.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune