[VIDEO] Saksi dakwa dengar letupan sebelum pesawat terhempas
KLANG – Pesawat ringan Blackshape Gabriel BK160TR yang dilaporkan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, di sini dikatakan meletup sebanyak dua kali di bahagian ekor sewaktu berada di udara.
Salah seorang saksi, Mustakim Said,56, berkata, kejadian letupan itu berlaku semasa azan Zuhur sedang berkemundang.
“Saya cuma nampak tadi meletup dua kali masa azan Zuhur.
“Memang nampak ekor pesawat itu meletup sebanyak dua kali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Lelaki itu menambah, serpihan pesawat itu kemudiannya bertaburan dengan salah satunya menjunam di kawasan kebun kelapa sawit.
“Selang 10 minit jatuh di sini dengan jaraknya kira-kira 50 meter dari jalan utama kampung ini,” ujarnya.
Sementara itu seorang lagi saksi, Junaidi Nasiran berkata, bangkai pesawat malang tersebut jatuh berdekatan dengan rumahnya.
“Saya tak nampak ia meletup, ada saksi lain yang nampak, saya nampak ia terjunam,” katanya.
Dia menambah, keadaan mangsa tidak dapat dipastikan kerana bangkai pesawat berkenaan terbenam ke dalam tanah.
@malaysiatribune Saksi kejadian sebuah pesawat ringan yang terhempas di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Junaidi Nasiran,55, berkata, dia melihat pesawat tersebut hilang kawalan, lalu terhempas. #malaysiatribune #kapalterbangterhempas #fypシ
“Mangsa tak nampak la, mungkin di dalam, lebih 10 kaki (terbenam) kat dalam tu,” katanya lagi.
Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 1.56 petang tadi.
Kata Ahmad Mukhlis, dua jentera serta empat anggota keluaran Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kapar digerakkan ke lokasi kejadian.