Berita Semasa

Norliza digugurkan, Aznan dilantik exco baharu Johor

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh digugurkan daripada senarai barisan exco negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tempat beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi digantikan dengan ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin.

“Saya percaya dan yakin pelantikan dan penstrukturan semula portfolio barisan exco ini mampu memacu Johor ke arah lebih baik dan semuanya berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti.

“Saya sedar dan insaf, sepanjang tempoh hampir dua tahun perkhidmatan ini, masih banyak yang perlu dilakukan.

“Insya-Allah, saya bersama barisan exco ini akan berusaha sehabis baik untuk memacu negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Onn Hafiz yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Johor, beliau meminta komitmen dan kerjasama semua pihak dalam menjayakan inisiatif menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.

“Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita taufik dan hidayah, kekuatan dan pedoman dalam menempuhi apa jua cabaran yang mendatang,” jelasnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button