Berita Semasa

Pesara tentera dakwa dikasari pegawai ATM

KUALA LUMPUR – Seorang penceramah motivasi yang juga pesara tentera membuat laporan polis selepas mendakwa diugut dan dikasari seorang pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika satu program ceramah motivasi di Dewan Tun Templer, Kem Sungai Besi, Jumaat lalu.

Mejar (B) Mohamad Qayyum Badaruddin, 56, mendakwa beliau dilempar dengan kata-kata kesat dan dikasari oleh seorang pegawai kaunselor dari Unit Kaunseling Markas ATM sebelum sesi ceramah kepada pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Menurut Mohamad Qayyum, sesi ceramahnya yang dijadualkan bermula pukul 4.00 petang terganggu apabila pegawai terbabit mengambil masa tambahan sehingga 4.20 petang.

“Saya bertanya bila sesinya akan tamat kerana saya perlu ke lokasi lain namun pegawai itu menjawab dengan kasar, ‘sibuk kau ni, aku tumbuk nanti. Tak puas hati, jom settle luar.’

“Dia kemudian bertindak merangkul leher saya dan mengheret ke tepi di hadapan lebih 200 pegawai kadet dan anggota tentera lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada Selasa.

Mohamad Qayyum menyifatkan tindakan pegawai itu sebagai biadab dan tidak menghormati peranannya sebagai penceramah yang dijemput untuk berkongsi ilmu.

“Walaupun saya bukan lagi pegawai tentera, saya mewakili puluhan ribu veteran ATM.

“Tidak wajar saya dilayan seperti ini. Kami telah berjasa kepada negara dan saya masih menyumbang untuk menaikkan imej ATM melalui ceramah serta penulisan buku berkaitan ketenteraan,” katanya lagi.

Beliau turut menuntut permohonan maaf daripada pegawai berkenaan dan ATM kerana sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Aidil Bolhassan, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Selasa

“Kes sedang dalam siasatan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button