Berita Semasa

Ibu bapa ke hospital, 6 beradik nyaris maut terperangkap dalam kebakaran

PETALING JAYA – Enam beradik berdepan detik mencemaskan apabila terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini pagi tadi.

Bagaimanapun kesemua mereka berjaya diselamatkan pasukan bomba.

Difahamkan, kesemua kanak-kanak berusia antara dua hingga 11 tahun itu ditinggalkan dalam rumah berkunci kerana ibu bapa mereka ke hospital.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian daripada jiran pada 11.15 pagi.

Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dengan kekuatan tujuh pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, anggota terpaksa memotong jeriji besi pintu hadapan untuk masuk ke dalam rumah. Kebakaran membabitkan sofa di ruang tamu.

“Pasukan segera memadamkan kebakaran dan mendapati terdapat enam kanak-kanak terdiri daripada empat perempuan dan dua lelaki kembar di dalam rumah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran bagaimanapun tidak membabitkan struktur bangunan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal kanak-kanak terbabit ditinggalkan di rumah kerana ibu mereka membawa bapa mendapatkan rawatan penyakit jantung di hospital berdekatan.

Katanya, kesemua kanak-kanak itu dalam keadaan selamat dan sudah diserahkan kepada ibu bapa mereka.

Show More

Related Articles

Back to top button