Jenayah & Mahkamah

Polis buru empat lelaki samun kedai emas di Kota Warisan

CYBERJAYA – Pihak polis sedang menggiatkan usaha mengesan empat suspek yang terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai emas dalam sebuah kompleks beli belah di Kota Warisan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kejadian samun itu berlaku pada kira-kira pukul 8.14 malam tadi.

“Suspek dipercayai empat lelaki tidak diketahui bangsa dan warganegara menaiki sebuah kereta Proton Waja berwarna silver.

Tiga daripada suspek kemudiannya memasuki premis, manakala seorang lagi menunggu dalam kereta,” kata Wan Kamarul Azran dalam satu kenyataan, hari ini.

Para suspek kemudiannya mengacukan senjata dipercayai pistol kepada pekerja kedai emas tersebut, lalu mengeluarkan sendiri barangan kemas yang berada dalam kabinet pameran.

“Tiada tembakan dilepaskan, dan barangan yang disamun melibatkan rantai leher dan rantai tangan pelbagai saiz dan berat.

“Ketika ini, anggaran kerugian masih dalam siasatan,” kata Wan Kamarul Azran lagi.

Beliau menambah, kertas siasatan sudah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi balai polis berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat kes, ASP Boby Tamat di talian 0135557858,” katanya lagi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button