Berita Semasa

Awan, kabus tebal sukarkan operasi bawa keluar jenazah pendaki wanita

LIPIS – Operasi membawa pulang jenazah pendaki wanita yang meninggal dunia di Gunung Reskit, Kula Tahan menggunakan helikopter Mi-171 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berdepan kesukaran apabila kawasan berkenaan diliputi awan dan kabus tebal, hari ini.

Timbalan Komander Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM, Subang, Penguasa Bomba Kanan 1, Mohd Ruzaidi Ramlee berkata, operasi membawa pulang jenazah Allahyarhamah Zahalita Othman, 52, bermula semalam dengan menggunakan helikopter jabatan berkenaan.

“Semalam (Selasa) kita terus bergerak dari Pengkalan Udara Subang menaiki helikopter MI-17I Unit Udara JBPM dan sampai di Gunung Reskit, Kuala Tahan pada pukul 6.30 petang.

“Namun hujan lebat telah menghalang helikopter mendekati kawasan terbabit dan kita terpaksa mendarat di Lipis,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, dekat sini hari ini.

Mohd Ruzaidi berkata, operasi menyelamat diteruskan pada pukul 9 pagi hari ini namun sebaik tiba di tempat jenazah pendaki tersebut berada, awan dan kabus tebal telah menghalang pemandangan.

Menurutnya, helikopter berlegar sekitar Gunung Tahan dalam jarak 1,524 meter selama 20 minit namun pasukan penyelamat gagal menembusi kawasan berkenaan.

“Kita membuat keputusan untuk mendarat di Gua Musang bagi tujuan mengisi bahan api. Sebaik selesai, sekali lagi kita pergi ke Gunung Reskit untuk cubaan menyelamat kali ke tiga namun menemui kesukaran ekoran awan dan kabus yang masih tebal.

“Justeru itu, kita memutuskan untuk berpatah balik ke Lipis dan mendarat di padang SMK Clifford. Jika cuaca mengizinkan petang ini kami akan bergerak sekali lagi untuk operasi menyelamat ,” katanya lagi.

Tambah Mohd Ruzaidi, anggota bomba dari Pusat Mencari dan Menyelamat Gunung Tahan (MOSAR), Merapoh dan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang turut digerakkan untuk operasi menyelamat.

Semalam Allahyarhamah Zahalita meninggal dunia di Gunung Reskit dekat Kuala Tahan, Jerantut, pada kira-kira pukul 7.30 pagi dipercayai akibat sesak nafas.

Show More

Related Articles

Back to top button