Presiden AMANAH tempelak sikap double standart Amerika
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menempelak sikap ‘double standard’ Amerika Syarikat (AS) yang bertindak tegas mengebom Syria dan Iraq apabila tiga tenteranya terkorban namun membiarkan rakyat Palestin terus menderita dibunuh rejim zionis Israel.
“Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan AS, pimpinan Joe Biden kerana bertindak tegas mengebom Syria dan Iraq apabila tiga tentera AS terkorban.
“Baru berlaku tiga kematian tentera AS di Jordan, yang didakwa dilakukan oleh kumpulan yang pro kepada Iran.
“Maka tanpa berlengah Biden membalas kematian tersebut dengan melakukan serangan bom ke atas lebih 60 tempat di Syria dan Iraq.
“Malangnya majoriti negara Arab hanya berpeluk tubuh dan tidak peduli langsung apabila umat Islam, umat Arab Palestin dibunuh setiap hari oleh tentera Zionis Israel yang sehingga kini mencecah hampir 30,000 kematian,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu Mohamad juga menempelak negara-negara Arab lain yang bersikap seperti AS yang tidak mempedulikan nasib rakyat di Palestin.
“Lebih 70 peratus mangsa yang terkorban adalah terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, tetapi malangnya pemimpin-pemimpin negara Arab ini tidak mempunyai maruah seperti bos mereka, iaitu AS,” tegasnya.