Tangguhkan pengambilan baharu penjawat awam secara kontrak
Muktamadkan dahulu kerangka besar pengambilan
PUTRAJAYA – Kerajaan diminta supaya menangguhkan pelaksanaan pengambilan pegawai baharu kerajaan secara kontrak yang akan bermula esok, sehingga satu kerangka besar pengambilan dimuktamadkan sepenuhnya.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin yang mengutarakan cadangan itu berkata, penangguhan itu wajar dilaksanakan dan tidak sepatutnya dilaksanakan dengan tergesa-gesa.
“Kerajaan seharusnya telah mempunyai satu kerangka yang komprehensif dan pendekatan pelaksanaan yang jelas.
“Ini juga dapat memberi lebih keadilan kepada rakyat Malaysia semasa membuat pilihan sama ada untuk berkhidmat sebagai penjawat awam atau sebaliknya dengan mengambil kira faedah semasa dan selepas perkhidmatan,” kata Radzi dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, kerangka besar yang dirangka perlu mengambil kira pandangan semua pemegang taruh.
“Tindakan terburu-buru untuk melaksanakan pengambilan pegawai baharu secara kontrak tanpa satu perancangan yang teliti dan menyeluruh untuk keseluruhan sistem perkhidmatan awam merupakan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.
“Terlalu banyak persoalan berkaitan dengan perkara ini yang telah disentuh oleh pelbagai pihak, namun (seoalh-olahnya) tidak diendahkan,” kata Radzi lagi.