Jenayah & Mahkamah

Maritim Malaysia temui bot berisi lapan paket syabu

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Negeri Pahang berjaya menahan sebuah bot dipercayai milik pengedar dadah Methamphetamine dengan penemuan lapan paket barang terlarang itu dianggarkan bernilai RM20,000.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran yang dipandu secara mencurigakan itu dikesan pada kedudukan kira-kira 2.8 batu nautika barat daya Kuala Kuantan 25 Januari lalu.

Bagaimanapun katanya, suspek tidak berjaya ditahan anggota peronda kerana berjaya melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran Pulau Biawak di sini.

Serbuk dipercayai dadah jenis Methamphetamine yang dirampas Maritim Malaysia di Kuala Kuantan, baru-baru ini.

“Hasil pemeriksaan menemukan wang tunai sebanyak RM198, sebuah telefon peribadi serta beberapa dokumen pengenalan diri yang mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut di atas bot telah menjumpai sebuah kotak tempat simpanan plastik berwarna hitam, sebungkus plastik lutsinar mengandungi penyedut minuman dan sebungkus plastik lutsinar di dalamnya terdapat lapan paket plastik lutsinar.

“Paket plastik yang disyaki dadah jenis Methamphetamine itu dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bot beserta barangan rampasan yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000 itu diserahkan kepada pengawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button