Berita SemasaPM X

Program jualan termurah akan diteruskan, diperluaskan – PM Anwar

IPOH – Program Jualan Termurah Khidmat Demi Rakyat akan diteruskan dan diperluaskan seluruh negara bagi membantu mengurangkan kos hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengambil berat keluhan rakyat yang harga barangan dan perkhidmatan semakin meningkat.

Anwar berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Program Jualan Termurah Khidmat Demi Rakyat di Padang Awam Klebang Restu, di sini hari ini.

“Kita telah mengambil pelbagai langkah berikutan kos sara hidup yang meningkat, walaupun jumlah STR (Sumbangan Tunai Rahmah) kita naikkan, tetapi tidak cukup, kalau harga barang naik.

“Kita akan perbanyakkan, kerapkan, perluaskan jualan murah terutama barangan keperluan ikan, ayam, beras dan sebagainya,” katanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan menerusi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) akan terus mencari ikhtiar bagi mencari penyelesaian peningkatan sara hidup sehingga ke akar umbi.

“Kos meningkat di pasaran mana-mana negara di dunia, percayalah ia tidak mudah, tetapi kita ambil setiap keluhan dan akan terus cari jalan,” kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Perdana Menteri kemudian turut mengadakan tinjauan di pasar raya Mydin di Meru Raya dan kaunter bergerak Lembaga Hasil Dalam Negeri Perak bagi semakan penerima STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Show More

Related Articles

Back to top button