Berita Semasa

Dakwaan TH agih lebih separuh kuota haji kepada pihak swasta tidak benar

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan mengagihkan kuota tertentu kepada pihak swasta atau Pengendali Jemaah Haji (PJH).

Menurutnya dalam satu kenyataan, dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali.

“TH mengingatkan orang awam untuk tidak menyebarkan berita palsu atau belum dipastikan kesahihannya yang boleh mencetuskan keresahan masyarakat.

“Sepertimana yang telah diketahui ramai, kuota haji berjumlah 31,600 yang telah diberikan oleh kerajaan Arab Saudi adalah mengikut sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep “Mendaftar Dahulu, Didahulukan” yang dilaksanakan sejak dari tahun 1995,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, apabila bakal jemaah sudah terpilih di dalam kuota tahunan, mereka boleh memilih samada ingin menunaikan ibadat haji melalui TH (muassasah) atau melalui syarikat-syarikat PJH yang telah dilesenkan oleh TH.

Katanya, bakal haji yang memilih syarikat PJH adalah mereka yang berkemampuan untuk membayar lebih dari kos haji bagi mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik dari muassasah.

“Dakwaan bahawa TH hanya mengendalikan 11,000 jemaah pada tahun ini adalah tidak benar kerana majoriti jemaah haji atau sekitar 70 peratus hingga 80 peratus adalah melalui muassasah.

“Syarikat PJH pula membuat bayaran kepada TH bagi setiap jemaahnya untuk perkhidmatan dan kemudahan di tanah suci termasuk bayaran wajib yang dikenakan oleh pihak Arab Saudi,” ujarnya.

Sehubungan itu, TH menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita palsu yang tular di media sosial.

 

Show More

Related Articles

Back to top button