Berita Semasa

Kedah rayu projek Kedah Aerotropolis yang dibatalkan diluluskan semula

ALOR STAR – Kerajaan negeri Kedah memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar lbrahim memberi pertimbangan untuk meluluskan semula Projek Kedah Aerotropolis yang dibatalkan ketika pembentangan Bajet 2023, kelmarin.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, menerusi projek berimpak tinggi itu ia mampu mengurangkan jurang kemiskinan sekali gus meningkatkan pembangunan ekonomi setempat.

“Kami amat berbesar hati jika PM dapat memberi pertimbangan semula untuk menyokong dan seterusnya memberikan kelulusan ke atas Projek Kedah Aerotropolis ini berdasarkan kepada fakta-fakta yang disenaraikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut merupakan ringkasan fakta Kedah Aerotropolis:

• Pembangunan Projek Kedah Aerotropolis memainkan peranan sebagai “Economic Game Changer” untuk wilayah utara, bagi mengimbangi pembahagian ekonomi untuk mengurangkan jurang kaya miskin negeri-negeri di Wilayah Utara.

• Kedah Aerotropolis telah mendapat kelulusan dasar dan nasihat awal di dalam Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 27 Oktober 2020 dengan lapan nasihat yang perlu dipatuhi.

• Telah mendapat sokongan daripada agensi-agensi berkaitan bagi tujuan mendapat Kebenaran Merancang bagi konsep pembangunan sebelum memasuki Kebenaran Merancang detail design planning kelak.

• Kerajaan negeri komited membangunkan Kedah Aerotropolis ini bagi mengangkat martabat ekonomi B40 (majoritinya) ke M40, M40 ke T20 dan seterusnya. Ini Selaras dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 (KEDAH2035), Rancangan Struktur Negeri Kedah 2035 dan Rancangan Malaysia Ke-12.

• Kedah Aerotropolis akan dibiayai SEPENUHNYA melalui Inisiatif Sumber Kewangan Swasta. Pemilihan dan pelantikan dua (2) pelabur utama sebagai rakan srategik utama Kerajaan Negeri telah dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

• Pembiayaan dana/perbelanjaan projek yang diperlukan akan diselesaikan dalam masa terdekat ini. Bajet Kerajaan Persekutuan tidak diperlukan. Maka, tiada risiko kepada kerajaan persekutuan dari segi beban kewangan.

• Berupaya memperkasakan Industri Aeroangkasa demi pembangunan Ekonomi Rakyat selaras dengan RMK-12, Kedah Aerotropolis dibangunkan dengan VISI untuk dijadikan sebagai Hab Industri Penerbangan Asia Pasifik (Asia Pacific Aviation Industry Hub) yang akan memberi fokus kepada Kargo, Logistik, MRO dan Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa di Wilayah Utara.

• Dengan berfokuskan kepada Kargo, Kedah Aerotropolis akan berupaya dijadikan sebagai “Memphis of ASEAN”, juga seperti ”Luxembourg“ di Eropah, dan “Zhengzhou” di China.

• Jenis kargo yang dicadangkan di Kedah Aerotropolis tidak terdapat di mana mana lapangan terbang lain di Malaysia dan pelbagai jenis kemudahan kargo yang baharu seperi “Cold Chain”, “Aquatic”, “Frozen”, “Container Warehouse” dan “Transhipment Center” akan membantu mengembangkan pasaran dan peluang kepada pelabur.

• Selain itu, Kedah Aerotropolis juga berfokuskan kepada MRO “Maintenance, Repair & Overhaul” dan Hab Kecemerlangan Aeroangkasa Serantau. Konsep ini merupakan aspirasi utama Negeri Kedah.

• Unjuran permintaan kargo dan MRO dibuktikan dengan perancangan berasaskan bukti (”evidence-based”) melalui penglibatan libat urus dengan pemain tempatan dan antarabangsa serta MOU yang telah ditandatangani. Berdasarkan konsep terbaru Kedah Aerotropolis ini, sehingga kini 14 Memorandum Persefahaman, 13 Surat Niat dan 3 Surat Sokongan / E-mel telah diperolehi daripada pemain industri dan agensi baik dari dalam mahupun dari luar negara.

• Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) hanya salah satu sub-komponen sahaja dan berperanan sebagai “Enabler” kepada keseluruhan pembangunan Kedah Aerotropolis. Kepentingan penggunaan Runway dan Taxiway kepada pembangunan Aerotropolis.

• Kedah Aerotropolis akan bermula dengan “Integrated Logistics Hub” TANPA memerlukan lapangan terbang (Terminal Penumpang), dimana ianya akan dibangunkan pada masa depan sekiranya terdapat permintaan kelak. Senario ini akan mengurangkan kos pembinaan Fasa 1 kepada RM3.25 bilion selain daripada kos pengambilan tanah.

• Konsep utama pembangunan adalah membangunkan sebuah perbandaran moden berasaskan penerbangan, dengan mensasarkan pasaran untuk Asia Pasifik. Ia adalah pembangunan berteraskan Jelapang Hijau ( Green Field) iaitu pembagunan projek yang holistik dan bersepadu di atas sebidang tanah yang luas.

• Kerajaan Negeri berupaya untuk membangunkan semua komponen-komponen berkaitan tanpa kekangan mengikut permintaan pengiat-pengiat industri, bagi merubah Landskap Ekonomi Negeri dan ekonomi rakyat yang majoritinya B40, supaya tidak terlalu bergantung kepada sumber daripada sektor pertanian.

• Kedah Aerotropolis merangkumi tiga komponen utama iaitu:

a) “Airport City”,

b) “Business Park” dan

c) “Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing” (SLAM) di mana SLAM akan dimajukan oleh NCIA “Northern Corridor Implementation Authority” dan cadangan pembangunan SLAM yang telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan untuk pelaksanaan.

• Pelbagai cadangan lebuh raya dan landasan kereta api yang akan disambungkan ke Kedah Aerotropolis turut dibangunkan oleh NCIA bagi menepati sebagai Hab Pengangkutan Multi-Modal yang lengkap di kawasan ini.

• Pembangunan Kedah Aerotropolis ini wajar dilaksanakan bagi membawa Industri Aeroangkasa di Malaysia ke tahap yang baharu dengan kerjasama pihak Kerajaan dan sektor swasta. Ia juga dapat merancakkan industri kargo & MRO di Malaysia serta melahirkan lebih ramai tenaga pekerja mahir tempatan yang akan menerajui pasaran di peringkat domestik dan antarabangsa.

• Pembangunan ini direka untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah, menarik pelaburan baharu dan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi. Kawasan sekitar terdiri daripada perniagaan berorientasikan penerbangan, industri dan ekosistem yang akan menjana dan menyokong keseluruhan pembangunan Kedah Aerotropolis secara holistik.

• Kedah Aerotropolis juga bertujuan mengurangkan kebergantungan negeri Kedah kepada sumber pertanian, di samping meningkatkan status Negeri Kedah daripada negeri kedua paling miskin di Malaysia dengan

• Melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi samaada tenaga mahir dan separuh mahir yang mampan dan cekap dalam industri penerbangan dengan hasrat mewujudkan pusat kecemerlangan untuk pembelajaran dan pendidikan aeroangkasa. Ini akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan serta mampu meningkatkan pendapatan isi rumah penduduk setempat.

• Dengan adanya Kedah Aerotropolis, jurang KDNK Kedah dan Pulau Pinang dapat dikurangkan daripada 55% ke 37% pada tahun 2030. Ini membuktikan pembangunan Kedah Aerotropolis sebagai “Game Changer” yang mampu mengurangkan kadar jurang kaya miskin bagi negeri-negeri di Wilayah Utara.

• Sebagai pemangkin utama bagi Kedah dengan kesan simbiotik terhadap projek sedia ada dan projek yang akan datang di lingkungan Aerotropolis dan kawasan sekitarnya. Kedah Aerotropolis dijangkakan dapat meningkatkan pertumbuhan tahunan Kedah daripada 4.5% kepada 7.5% dan ini amat penting untuk Negeri Kedah secara keseluruhan.

• Kedah Aerotropolis disasarkan sebagai Hab Industri Penerbangan Asia Pasifik bagi melengkapkan jaringan perniagaan yang sempurna kerana ia bertepatan dengan kedudukan Negeri Kedah di sempadan utara pintu masuk antarabangsa utama ke Malaysia di dalam lingkungan Indonesia–Malaysia–Thailand Growth Triangle (IMT-GT) dan Northern Corridor Economic Region (NCER).

• Cadangan kerajaan persekutuan untuk menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Lapangan Terbang Subang yang bertujuan untuk menarik pelabur, peniaga dan pelancong, adalah amat berbeza dengan Kedah Aerotropolis yang mana fokusnya kepada kargo dan MRO selain berperanan untuk “complementing” PIA dari segi penumpang.

• Pembesaran keupayaan PIA untuk menampung permintaan penumpang perlu melibatkan peningkatan keupayaan Single Runway dan Taxiway, dan bukan sekadar pembesaran yang melibatkan Terminal Penumpang.

• Melihat dari kekangan semasa, peningkatakan keupayaan landasan dan taxiway mesti dilakukan dengan penambakan laut untuk memanjangkan landasan. Ini akan melibatkan kos yang tinggi dan juga melibatkan kesan yang tinggi kepada Alam Sekitar dan Sosio Ekonomi rakyat setempat.

• Oleh yang demikian, Kedah Aerotropolis akan menjadi pelengkap dan melengkapi kepada situasi PIA bagi menampung pertambahan unjuran penumpang yang akan datang terutamanya bermulanya 2030 kelak.

• Kelebihan Kedah Aerotropolis adalah ia merupakan tapak Jelapang Hijau (“greenfield”) yang dapat menyediakan pelan induk mengikut keperluan/kehendak pemain industri tempatan dan antarabangsa, sebaliknya bukan “retrofitting” kepada tapak sedia ada.

• Perancangan dan pembinaan di tapak “greenfield” adalah lebih efisien, “functional” dan jauh lebih mudah, berbanding dengan “retrofitting”. Kos pembinaan untuk “live airport” adalah lebih tinggi dan konsep “retrofitting” akan memberi ketidakselesaan kepada penumpang semasa pembinaan nanti terutamanya pada musim hujan di mana banjir sering berlaku di PIA.

• Hasil 5 kajian konsultan dari segi Kebolehlaksanaan Ekonomi dan Teknikal semenjak tahun 2015 telah mendedahkan bahawa semua konsultan menyokong penuh akan pembangunan Kedah Aerotropolis. lanya adalah pembangunan berdaya maju yang amat diperlukan untuk memartabatkan negeri Kedah dan Wilayah Utara.

• Negeri Kedah telah sedaya upaya baik dari segi masa dan perbelanjaan yang banyak khususnya dana yang telah digunapakai untuk yuran perunding, kerja-kerja pemasaran dan perancangan projek dengan hasratnya supaya projek ini dapat direalisasikan. Setakat kini, sebanyak RM28 juta telah dibelanjakan oleh negeri untuk projek ini.

• Kewujudan Kedah Aerotropolis dengan Kargo, MRO dan Aeroangkasanya akan melengkapkan (“complement”) Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dengan limpahan penumpangnya. Ini menjustifikasikan akan pembesaran PIA.

• Seterusnya, Kedah Aerotropolis juga memberi manfaat positif kepada penduduk dan industri sekitarnya, di samping memberi faedah kepada pembangunan projek-projek baharu yang dicadangkan seperti “Kedah Rubber City”, “Perlis Inland Port”, “Chuping Valley Industrial Area” dan “Bukit Kayu Hitam SBEZ”.

• Dari segi perspektif jangka panjang, adalah dijangka bahawa PIA tidak dapat mengatasi trend penumpang yang meningkat dengan cepat. Reka bentuk untuk sesuatu lapangan terbang adalah berpandukan kepada pelan induk jangka masa sekurang-kurangnya 50 tahun dan bukan semata-mata untuk 5 atau 10 tahun sahaja.

• Dengan penjelasan dan fakta di atas, kerajaan Negeri Kedah, demi kebajikan rakyat Kedah dan Wilayah Uatara memohon dipertimbangan semula dengan sewajarnya keputusan yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri tanpa maklumat yang mencukupi berkenaan projek ini.

• Kerajaan Negeri Kedah amat berharap pembentangan projek Kedah Aerotropolis dapat diaturkan dalam masa terdekat ini supaya penjelasan yang lebih terperinci dapat diberikan kepada YAB PM untuk pemahanan yang lebih mendalam serta menyeluruh berkaitan projek ini.

• Sekali lagi, Kerajaan Negeri juga berharap YAB PM dapat mempertimbangkan semula dan meluluskan projek Kedah Aerotropolis yang akan memberi manfaat yang ketara kepada Negeri Kedah dan Wilayah Utara.

Show More

Related Articles

Back to top button