Bekas Ketua ESSCOM, 6 polis dibebaskan daripada tuduhan bunuh pemandu e-hailing
TAWAU – Bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain, enam anggota polis dan seorang awam dibebaskan daripada tuduhan membunuh pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat yang memaklumkan tidak mahu meneruskan pendakwaan keatas kesemua tertuduh, lapor Harian Metro.
Khairul Azreem berkata permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.
“Permohonan ini dibuat selepas mengambil kira perkembangan terbaru kes pada perbicaraan yang masuk hari kelapan hari ini,” katanya.
Hari ini sepatutnya untuk sambung perbicaraan namun semua dikejutkan dengan keterangan saksi ke-23, Nurimah Juli, 35, yang mengaku membunuh Nurman, di Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas, kira-,kira jam 8 malam, pada 13 Januari tahun lalu.
Difahamkan Nurimah adalah bekas isteri mangsa.
Sebelum ini, pada 7 Julai lalu, Mat Zaki, 58, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan kes bunuh pemandu e-hailing itu.
Mengikut pertuduhan, Mat Zaki dituduh bersubahat dengan John Kennedy Sanggah membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Januari tahun lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 8 Februari sebelum itu, Mat Zaki turut dakwa bersubahat dengan enam tertuduh lain iaitu Rosdi Rastam, 44; Denis Anit, 44; Fabian Rungam, 43; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd Azlan Sakaran, 39; dan Vivien Fabian, 34, membunuh Nurman di tempat dan waktu yang sama.