Berita Semasa

SPRM dapat kebenaran tuduh Tun Daim di mahkamah

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan sudah mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negara bagi mendakwa bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin di mahkamah atas pertuduhan Akta SPRM.

Laporan portal Mkini bagaimanapun berkata, pendakwaan itu terpaksa ditangguhkan susulan Daim sedang menerima rawatan di hospital atas masalah kesihatan.

Laporan sama turut memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebagai berkata, pihaknya kecewa dengan doktor yang merawat Daim yang gagal berterus-terang kepada pegawai penyiasat SPRM mengapa bekas menteri itu dianggap tidak mampu hadir di mahkamah.

“Kami dapat kelulusan untuk mendakwa Daim sejak seminggu lalu.

“Apabila pegawai penyiasat memaklumkan peguamnya bahawa Daim perlu hadir ke mahkamah, peguam itu beritahu SPRM bahawa Daim telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta.

“Kami buat semakan, Daim memang dimasukkan ke hospital sebelum kami dapat kelulusan untuk mendakwa. Bagaimanapun, sehingga hari ini, kami tidak dapat memastikan mengapa dia dimasukkan ke hospital kerana doktor yang merawatnya tidak mendedahkan apa yang tidak kena dengan Daim,” kata Azam Baki dalam laporan tersebut.

Jelas Azam lagi, Daim dijangka berdepan dengan sekurang-kurangnya satu pertuduhan kerana gagal mengisytiharkan beberapa hartanah yang dimiliki bersama isterinya.

Beliau menambah, berdasarkan situasi Daim, SPRM juga boleh membawa seorang hakim ke hospital yang menempatkan beliau supaya pertuduhan dapat dibacakan.

Bagaimanapun, Azam menegaskan, langkah itu bukan pilihan pertama pihaknya melainkan keadaan memerlukannya.

Show More

Related Articles

Back to top button