KPM sambut baik agenda reformasi pendidikan
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik keputusan Kabinet yang menetapkan semua sistem pendidikan prasekolah akan diselaraskan di bawah kementeriannya dalam memastikan kualiti pendidikan negara terus dimartabatkan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia adalah selaras dengan agenda reformasi pendidikan yang sedang diterajui oleh KPM khususnya dalam memperkukuhkan sistem pendidikan negara.
“Susul tindak telah disegerakan dengan pelibatan semua ketua jabatan dan bahagian dalam mesyuarat pasca Kabinet KPM pada hari ini.
“Mekanisme dan garis masa bagi peralihan struktur baharu ini akan diperincikan dalam tempoh terdekat bersama kementerian-kementerian yang terlibat serta pemegang taruh dalam institusi pendidikan awal kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan.
Fadhlina berkata, reformasi pendidikan ini sangat signifikan dalam menjamin akses, pendidikan yang berkualiti serta intervensi awal bagi menangani keciciran di peringkat prasekolah.