Empat parah, kereta bertembung terputus dua
SETIU – Empat sahabat cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terputus dua akibat bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 72, Jalan Kampung Saujana, dekat sini, pada pukul 9.45 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Affandi Hussin, kereta Honda Civic yang dinaiki remaja berkenaan hilang kawalan lalu memasuki jalan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta jenis Proton Persona.
Rentetan daripada kemalangan itu, mangsa Muhammad Syamil Khairul Ihsam, 20, patah paha kiri manakala rakannya, Syed Muhammad Fitri Syed Ahmad Yani, 20, cedera parah dan telah ditidurkan akibat kecederaan kepala.
Katanya, dua lagi mangsa iaitu Muhammad Izzat Abdul Rohim, 20, dan Hafiz Azizi Harun, 20, pula mengalami kecederaan di kepala.
“Siasatan awal mendapati kereta jenis Honda Civic dinaiki empat sahabat itu yang dipandu Muhammad Syamil dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke arah Besut.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta itu telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Proton Persona,” katanya.
Tambahnya, pemandu kereta Proton Persona terlibat, Mohd. Redzuan Aisha, 47, dan penumpang iaitu isterinya, Saliha Hasan, 39, serta anak perempuan mereka, Nurul Fatihah Mohd. Redzuan, 6, turut mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, katanya, polis masih belum dapat mengenal pasti status kecederaan tiga mangsa berkenaan, namun telah dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan susulan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune