PM Anwar umum berita gembira buat warga JKDM
PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bakal menerima imbuhan istimewa susulan prestasi membanggakan dengan pencapaian mengutip cukai melebihi sasaran pada tahun lalu.
Berita gembira tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
“Saya hargai dan menaruh keyakinan sebab itu saya boleh beri jaminan bonus tahun ini lebih baik dari sebelumnya,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-42, di sini hari ini.
Selain bonus, Anwar turut mengumumkan tambahan peruntukan awal bagi menambah baik perumahan JKDM daripada RM20 juta kepada RM50 juta.
Peruntukan tersebut, kata Perdana Menteri, adalah bagi memastikan perumahan buat kakitangannya tidak lagi daif dan uzur selain kerajaan akan terus berusaha untuk membina perumahan baharu buat mereka.
“Sebab itu bagi polis, tentera, Maritim Malaysia dan JKDM, kita akan beri keutamaan kepada perumahan pada tahun 2024 ini. Saya minta ini disegerakan, tidak ikut prosedur tender biasa.
Untuk rekod, prestasi kutipan JKDM bagi tahun lepas mencapai hasil sebanyak RM55.1 bilion melepasi sasaran RM53.5 bilion, dengan lebihan sebanyak RM1.6 bilion atau tiga peratus.
Anwar turut menyatakan keyakinan beliau JKDM mampu mencapai sasaran kutipan 6 bilion bagi tahun ini susulan semangat luar biasa jabatan berkenaan.
“Kastam, polis, Maritim Malaysia dan agensi di sempadan, semua kerjasama penting kerana kita berhadapan dengan kelompok rakus, penyeludup canggih dan kehilangan dana akibat penyeludupan, keluar masuk minyak, dadah, rokok, arak cecah puluhan bilion ringgit.
“Saya rasa lebih yakin dengan pimpinan di Kastam dan pasukan yang punya komitmen bahawa kita dapat bersama-sama bukan sahaja kumpul dana lebih baik tapi banteras penyeludupan yang merosakkan negara,” katanya lagi.