Berita Semasa

Kerajaan beri jaminan percepat mekanisme naik taraf lesen B2 kepada B secara automatik – TPM

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan akan mempercepatkan proses penaiktarafan lesen kelas B2 kepada B secara automatik dalam masa terdekat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, naik taraf tersebut akan dilaksanakan berdasarkan beberapa mekanisme seperti umur dan tempoh pemilikan lesen yang masih belum dimuktamadkan.

“Apa yang kami bincangkan ada tempoh tertentu iaitu dari segi umur penunggang motosikal itu mesti berumur 35 tahun ke atas yang kedua pemegang lesen B2 itu mesti dalam tempoh tertentu baru layak untuk dapat B (secara automatik).

“Perkara ini kita akan muktamadkan mesyuarakat terperinci dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri sesi libat urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia di Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Dalam libat urus berkenaan, rata-rata peserta bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Anthony Loke iaitu penunggang motosikal yang berumur 35 tahun dan ke atas sahaja yang layak mendapat penaiktarafan secara automatik.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berpendapat, tiada masalah sekiranya naik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B dilakukan secara automatik.

Jelasnya, penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button